Friday, May 31, 2013

Penguatkuasaan dan pemantauan rapi perlu tangani masalah barang tiruan

TENOM: Penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan rapi perlu dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menangani masalah barang tiruan di pasaran. Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi, berkata pihak kementerian perlu membuat pemantauan yang kerap kerana masih terdapat segelintir masyarakat di kawasan luar bandar yang kurang peka terhadap hak untuk mendapatkan sesuatu barangan yang berkualiti dan bermutu dalam membeli sesuatu barangan.

Beliau berkata, masyarakat perlu mempunyai pengetahuan tambahan dalam membeli sesuatu barangan supaya tidak menjadi mangsa penipuan atau membeli barangan yang tidak berkualiti terutamanya barangan tiruan. “Saya tidak mahu rakyat terutamanya di kawasan luar bandar terpedaya atau tertipu dengan pelbagai teknik penjualan dan pemasaran yang dilakukan oleh sesebuah syarikat yang menjual produk mereka untuk mendapatkan keuntungan semata-mata.

“Rakyat yang juga merupakan pengguna perlu bijak, teliti dan mendapatkan maklumat langsung mengenai sesuatu barangan terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barangan tersebut kerana kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan,” katanya ketika berucap merasmikan Majis Perasmian Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Tenom, di Sedco Vest Tenom, baru-baru ini.

Mengenai penubuhan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Tenom ini, katanya, amat bermanfaat kepada peniaga dan penjaja di sekitar daerah Tenom kerana segala urusan atau masalah dapat diselesaikan menerusi kerjasama di antara ahli-ahli dalam persatuan. “Dengan adanya persatuan ini, ahli-ahli persatuan akan dapat menyuarakan pendapat atau masalah yang dihadapi tanpa menyelesaikannya secara bersendirian.

“Dalam menubuhkan persatuan ini, aspek pentadbiran persatuan amat penting disusun dengan baik dan teratur kerana persatuan yang mempunyai pentadbiran dan pengurusan yang baik akan dapat menambahkan lagi keyakinan ahli-ahli persatuan dalam membantu menyelesaikan sesuatu masalah,” jelasnya. Dalam majlis itu, Raime turut mengingatkan para penjaja dan peniaga kecil supaya mendaftar di bawah Majlis Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (M3P) melalui persatuan sebagai persiapan untuk pemberian Perlindungan Insurans Berkelompok secara percuma melalui Skim Takaful Mikro Bank Rakyat.


“Skim ini bertujuan untuk memberi perlindungan dan menjaga kebajikan peniaga daripada sebarang masalah seperti kemalangan.Manakala, faedah perlindungan insuran ini sehingga umur seseorang peniaga itu mencecah umur 70 tahun. “Skim ini juga akan mulai berkuatkuasa pada bulan Januari 2013 dan semua para penjaja dan peniaga kecil adalah digalakkan untuk mendaftar segera,” katanya. 

Thursday, May 30, 2013

RISIKO MEMBELI TELEFON BIMBIT DI PESTA TELEFON DENGAN HARGA TERLALU MURAH                                             

Sejak awal bulan April, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima banyak aduan tentang telefon bimbit yang dibeli di pesta telefon yang sedang rancak diadakan di serata Malaysia.

Ramai pengguna yang membeli telefon di pesta telefon kerana percaya dengan dakwaan jurujual bahawa telefon tersebut adalah tulen dan diberikan diskaun sehingga 70 peratus.Aduan yang diterima ini amat membimbangkan kerana pengguna menghadapi risiko yang amat tinggi dan tiada perlindungan yang diberikan sekiranya mereka ditipu. Begitu juga kegiatan menjual telefon yang tidak mempunyai jaminan dari segi kualiti dan khidmat selepas jualan melalui pesta telefon juga sekiranya tidak dikawal akan menjadi pusat bagi penipuan.

Ramai pengguna mengadu bahawa mereka telah tertipu akibat harga yang terlalu murah misalnya harga Iphone dan Blackberry hanya dalam lingkungan RM 180.00 sehingga RM 800.00. Namun berapa yang menyedari muslihat di sebaliknya. Kita hanya membeli tanpa membuat penyiasatan ataupun mendapat nasihat daripada mana-mana pihak. Pernahkah terlintas dalam fikiran kita, kenapa dan bagaimana seorang penjual boleh menjual sesuatu produk dengan harga yang lebih murah dengan harga pasaran?

Kemungkinan besar, produk berkenaan adalah produk tiruan, palsu, dicuri ataupun produk yang diseludup masuk ke negara kita. Pengguna dinasihatkan agar bertanggungjawab dalam membuat keputusan.

Dalam masa ini, terdapat banyak saluran untuk mendapatkan maklumat dan pendapat daripada pengguna lain, umpamanya melalui forum-forum di internet. Pengguna juga boleh mendapat komen-komen mengenai penjual melalui pengalaman pengguna lain. Jangan membuat keputusan untuk membeli secara terburu-buru.

Sekiranya anda membeli daripada pihak yang tidak dikenali mahupun dari premis yang tidak tetap, kemungkinan besar apabila menghadapi masalah ataupun kerosakan dengan produk berkenaan, anda tidak dapat mencari mereka lagi. Kebanyakan daripada mereka tidak mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Ini menimbulkan kesukaran untuk mengesan mereka.

Begitu juga jika melaporkan kes kepada bahagian penguatkuasa atau memfailkan kes di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, kes ini sukar untuk diselesaikan kerana kesukaran untuk mendapatkan penjual.

Pengguna perlu jelas dengan risiko yang bakal mereka hadapi akibat daripada keputusan pembelian mereka.

                                                       (Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC))


WASPADA DENGAN TELUR TIRUAN                                        

Pengguna Malaysia dikejutkan dengan berita tentang aduan seorang pengguna yang mendakwa telur yang dibeli di Pasar Pulau Tikus, Pulau Pinang adalah telur tiruan. Namun, hasil  ujian Jabatan Kimia mendapati empat sampel telur ayam adalah tulen dan keputusan analisis mendapati kandungan protein sampel telur berkenaan adalah sama dengan telur ayam.

Kes masalah makanan dan keracunan makanan dilaporkan banyak berlaku di Tanah Besar China beberapa tahun yang lalu. Pada tahun 2001, terdapat 185 kes keracunan makanan yang menjejaskan sebanyak 15,715 orang dengan mengakibatkan 146 kematian. Kejadian ini bertambah dua kali ganda pada tahun 2002 dan pada 2003, bilangan kes yang dilaporkan adalah sepuluh kali ganda daripada tahun 2001.
Jumlah orang menderita ialah mencecah 29,660 orang termasuk 262 kematian dan pada September 2008 hampir 53,000 kanak-kanak China menderita akibat pencemaran susu bayi dengan 4 orang bayi meninggal dunia.

Seorang maut dan 42 orang mengalami keracunan nitrat di hotel barat daya China pada Oktober 2010 dan 200 pelajar sekolah mengalami sakit perut dan muntah akibat meminum susu sarapan pagi di sekolah pada April 2010. Kesimpulannya terlalu banyak kes keracunan dan makanan tiruan berlalu di negara China dengan mengakibatkan sejumlah besar rakyat mereka.

Mengikut satu laporan, telur tiruan adalah perkara biasa di China. Pengguna di negara itu telah dinasihatkan supaya mengawasi telur tiruan ketika mereka hendak membeli telur. Menurut laporan tersebut, telur tiruan mengandungi bahan-bahan kimia. Cangkerangnya diperbuat daripada kalsium karbonat. Kuning telur dan putih telur diperbuat daripada natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna makanan.

Menurut artikel daripada Xiamen News, sekiranya telur tiruan ini dimakan dalam masa yang panjang boleh mengakibatkan kesan kecacatan otak. Justeru itu, pengguna dinasihatkan supaya lebih berwaspada dengan telur tiruan. Sekiranya pengguna ragu-ragu dengan keasliannya sila hubungi Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang berhampiran tempat anda. 



Berikut adalah tip untuk membezakan telur tiruan dengan telur asli:-

  1. Selepas telur dipecahkan, putih telur dan kuning telur akan segera bercampur.
  2. Cangkerang telur tiruan agak berkilat berbanding telur sebenar, tetapi tidak begitu ketara.
  3. Apabila disentuh dengan tangan, ia terasa agak kasar berbanding telur sebenar.
  4. Apabila telur tiruan digoncang ia akan berbunyi kerana air berlebihan daripada bahan pepejal.
  5. Telur sebenar agak berbau seperti daging mentah.
  6. Ketuk-ketuk sedikit telur itu. Telur sebenar berbunyi lebih rapuh berbanding telur tiruan.
  7. Selepas memecahkan telur tiruan, kuning telur dan putih telur akan cair bersama. Ini disebabkan kuning telur dan putih telur dihasilkan daripada bahan mentah yang sama.
  8. Ketika menggoreng telur tiruan, kuning telur akan mengembang tanpa disentuh.



Cadangan kerajaan untuk mewajibkan semua pengeluar telur berdaftar dengan Jabatan Veterinar dan diberikan pensijilan untuk memastikan telur yang dihasilkan memenuhi piawaian yang ditetapkan adalah langkah yang seharusnya  telah dimulakan dari dahulu lagi. Melalui sistem itu, telur yang dikeluarkan akan dicop dengan label ladang, gred telur dan tarikh ia dikeluarkan bagi menambah keyakinan pengguna terhadap telur tersebut.

Mengikut rekod, terdapat 390 ladang ayam penelur di negara ini dengan kapasiti sebanyak 37.82 juta ekor ayam dan pengeluaran telur sebanyak 23.46 juta sehari.  Pada ketika ini, pengguna diharapkan dapat memanfaatkan maklumat dan label yang diwujudkan agar dapat membuat pilihan yang bijak.



                                                                 (Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia)

Pengguna dinasihatkan jangan tertipu jualan telefon bimbit murah


Persatuan Pengguna dan Sosial Daerah Petaling (Caps) menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila membeli telefon bimbit canggih dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga rendah yang diberikan peniaga atau ejen telefon bimbit. Timbalannya, Shamsuddin Hassan berkata, ia berikutan semakin banyak aduan diterima mengenai ejen yang enggan bertanggungjawab walaupun produk masih dalam tempoh jaminan.

Menurutnya, antara aduan yang diterima pihaknya ialah telefon bimbit yang baru dibeli tidak mempunyai kamera, tidak boleh dicas serta tidak berfungsi. ” Sebagai contoh, sebuah telefon bimbit Blackberry tulen di pasaran dijual RM1,900 sedangkan di tapak ekspo dijual sekitar RM420. Ia jauh lebih murah daripada harga asal. “Tetapi, apabila berlakunya kerosakkan dan pengguna mengadukannya kepada peniaga atau ejen terbabit pelbagai alasan diberikan dan enggan bertanggungjawab,”katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata, keadaan itu timbul kerana syarikat pengeluar tidak ambil peduli siapa yang menjual produk mereka iaitu ejen dilantik atau tidak dilantik, asalkan mereka meningkatkan jualan. “Dalam keadaan sebegitu, banyak ejen yang tidak dilantik menjual set telefon bimbit dengan harga lebih murah kerana mereka tidak perlu mematuhi syarat waranti,” katanya.

Shamsuddin berkata, Caps menggesa syarikat pengeluar telefon bimbit supaya lebih beretika dan hanya berurusan dengan ejen yang dilantik syarikat bagi menjaga kepentingan pengguna. “Pengguna juga sepatutnya hanya berurusan dengan ejen yang dilantik syarikat sahaja,”katanya. Sementara itu, salah seorang pengguna yang enggan mendedahkan identitinya ketika ditemui Komunitikini berkata, semasa mengunjungi jualan karnival, beliau amat tertarik dan berminat untuk membeli telefon tersebut setelah melihatkan harganya yang jauh lebih rendah berbanding harga jualan sebenar.

Namun, menurutnya, selepas beberapa hari menggunakan telefon yang dibeli dengan harga dalam lingkungan RM450 tiba-tiba ia mengalami kerosakan . “Saya cuba memulangkan serta mahu mendapatkan penjelasan sebenar tetapi malangnya tidak diterima oleh jurujual tersebut,”katanya dalam nada kesal. Difahamkan sejak kebelakangan ini ramai pengguna tertipu dengan jualan murah telefon bimbit ditawarkan pada promosi jualan karnival telefon bimbit di seluruh negara.


Tawaran inilah yang menyebabkan ramai di antara pengguna  terutamanya mereka yang kurang peka dan taksub terhadap model baru telefon bimbit di pasaran terpedaya sekali gus mengalami kerugian selain terpaksa berputih mata. Telefon bimbit klon berjenama seperti iPhone  dan Nokia merupakan produk daripada negara China pembuat dan pengeluar utama barang-barang tiruan di mana komponen yang digunakan di dalam telefon bimbit tidak tahan lama.

Saturday, May 25, 2013

Masih ramai pemilik cap dagangan tidak berdaftar


KUALA LUMPUR, 10 Okt  : Masih ramai pemilik cap dagangan berdaftar tempatan dan antarabangsa tidak mendaftarkan jenama produk mereka mengikut kaedah ‘Basket Of Brands (BOB)’ atau ‘Bakul Jenama’ sebagai langkah awal untuk membanteras kegiatan barangan tiruan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Perlindungan Pengguna Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mohd Khalis Kasim berkata walaupun setakat ini 95 jenama harta intelek disimpan dalam pangkalan data yang diwujudkan KPDNKK, sikap pemilik harta intelek yang masih tidak mendaftarkan jenama mereka menyukarkan unit itu untuk mengetahui sama ada barangan yang dijual di pasaran itu adalah tiruan ataun sebaliknya.

Isu cap dagangan ini adalah sesuatu yang serius kerana ia boleh mendatangkan kerugian besar kepada peniaga atau pereka asal produk tertentu itu, katanya kepad Bernama di sini, hari ini.

Antara jenama popular yang disimpan di dalam BOB ialah barangan jenama antarabangsa seperti Adidas dan Nike, serta barangan jenama tempatan seperti kenderaan jenama Proton, produk jenama khas (pakaian, alat tulis, filem) Upin dan Ipin dan peralatan alat tulis jenama Papermate. Bagaimanapun, katanya, daripada 95 jenama harta intelek di dalam BOB itu, tidak semua didapati ditiru.

Jelasnya, BOB yang diwujudkan KPDNKK tahun lalu, adalah bertujuan mengawal dan melindungi ciptaan seseorang agar pihak lain tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan hasil kreativiti orang lain dan mendapat keuntungan ke atasnya pula.

“KPDNKK tidak mampu membanteras kesemua barangan tiruan yang terlalu banyak di pasaran tempatan namun sekiranya ia dimasukkan ke dalam BOB, ianya memudahkan pihak kita untuk membuat pemantauan khusus,” katanya.

Mohd Khalis berkata peniaga yang memasukkan cap dagangan mereka ke dalam BOB juga tidak perlu bersusah payah untuk memantau di setiap negeri dalam usaha memastikan barangan mereka tidak ditiru kerana KPDNKK mempunyai wakil khas di setiap negeri yang akan memantau setiap jenama barangan yang termasuk dalam BOB.

Beliau berkata sejak Jan sehingga Sept tahun ini, RM13 juta nilai rampasan barangan tiruan direkodkan membabitkan 689 kes. “Nilai rampasan tahun ini dilihat meningkat berbanding tahun lalu iaitu RM12.7 juta membabitkan 1,191 kes dalam tempoh Januari sehingga Disember,” katanya. – BERNAMA


Kerajaan Perlu Gempur Petaling Street Habis-Habisan
 



Menjual barangan tiruan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 3(1)(b) Akta Perihal Dagangan.
Jika sabit kesalahan penjual barangan tiruan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua, denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali bagi kes perseorangan.

"Bagi syarikat pula, denda tidak melebihi RM250,000 dan kesalahan kedua pula denda tidak melebihi RM500,000," katanya.

Undang-undang digubal di Dewan Rakyat. Bukan dibuat dibawah pokok atau di tepi longkang. Apabila undang-undang dibuat oleh Dewan Rakyat, maka pihak kerajaan haruslah patuh kepada undang-undnag yang mereka sendiri buat. Bukannya buat undang-undang kemudian buat tak tahu pula dan biarkan orang melanggar undang-undang tersebut.

Umum mengetahui di Lembah Klang lubuk kepada segala produk tiruan adalah di Petaling Street. Dipamer dan dipasarkan secara terbuka. Bukannya jual secara sorok-sorok. Mereka telah mencabar undang-undang yang kerajaan buat...

Kenapa kerajaan membiarkan perkara itu berlaku ?  Bukankah itu merupakan satu kesalahan ?

Kita berharap kerajaan baru yang akan dibentuk dalam masa beberapa hari ini supaya mengambil tindakan tegas ke atas  pengedar dan penjual barangan tiruan yang berpusat di Petaling Street. Jangan biarkan golongan-golongan tertentu bermaharajalela mencabar undang-undang yang digubal kerajaan.

Kita minta perkara ini dilakukan bukan kerana nak menganiaya mana-mana pihak atau kaum. Tetapi kerana ianya melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.


DITIPU PENJUAL BEG TANGAN MELALUI INTERNET





LEONG (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya berhubung pembelian barangan tiruan sambil diperhatikan oleh Alex di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihati supaya tidak terpedaya dan lebih berhati-hati ketika membeli barangan berjenama mewah secara dalam talian kerana dikhuatiri produk yang dijual adalah tiruan. Peguam Penasihat Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Alex Kok berkata, tawaran harga murah ke atas produk tersebut menyebabkan pembeli mudah tertipu dengan produk tiruan tersebut.

“Selain harga murah, butik-butik dalam talian juga menawarkan pilihan yang banyak dengan potongan harga hingga 50 peratus. “Ini telah menarik minat pembeli untuk mendapatkan barangan tersebut tanpa mengetahui ia adalah tiruan. Ini memberi peluang kepada peniaga untuk memperdaya pelanggan mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.


Dalam hal ini, beliau menarik perhatian mengenai kes pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan baru-baru ini yang diperdaya oleh sebuah butik dalam talian yang menjual beg berjenama tiruan pada harga ribuan ringgit. (Kosmo)