RISIKO MEMBELI TELEFON BIMBIT DI PESTA TELEFON DENGAN HARGA TERLALU MURAH
Sejak awal bulan
April, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima banyak aduan
tentang telefon bimbit yang dibeli di pesta telefon yang sedang rancak diadakan
di serata Malaysia.
Ramai pengguna
yang membeli telefon di pesta telefon kerana percaya dengan dakwaan jurujual
bahawa telefon tersebut adalah tulen dan diberikan diskaun sehingga 70 peratus.Aduan yang
diterima ini amat membimbangkan kerana pengguna menghadapi risiko yang amat
tinggi dan tiada perlindungan yang diberikan sekiranya mereka ditipu. Begitu
juga kegiatan menjual telefon yang tidak mempunyai jaminan dari segi kualiti
dan khidmat selepas jualan melalui pesta telefon juga sekiranya tidak dikawal
akan menjadi pusat bagi penipuan.
Ramai pengguna
mengadu bahawa mereka telah tertipu akibat harga yang terlalu murah misalnya
harga Iphone dan Blackberry hanya dalam lingkungan RM 180.00 sehingga RM
800.00. Namun berapa yang menyedari muslihat di sebaliknya. Kita hanya membeli
tanpa membuat penyiasatan ataupun mendapat nasihat daripada mana-mana pihak.
Pernahkah terlintas dalam fikiran kita, kenapa dan bagaimana seorang penjual
boleh menjual sesuatu produk dengan harga yang lebih murah dengan harga
pasaran?
Kemungkinan
besar, produk berkenaan adalah produk tiruan, palsu, dicuri ataupun produk yang
diseludup masuk ke negara kita. Pengguna dinasihatkan agar bertanggungjawab
dalam membuat keputusan.
Dalam masa ini,
terdapat banyak saluran untuk mendapatkan maklumat dan pendapat daripada
pengguna lain, umpamanya melalui forum-forum di internet. Pengguna juga boleh
mendapat komen-komen mengenai penjual melalui pengalaman pengguna lain. Jangan
membuat keputusan untuk membeli secara terburu-buru.
Sekiranya anda
membeli daripada pihak yang tidak dikenali mahupun dari premis yang tidak
tetap, kemungkinan besar apabila menghadapi masalah ataupun kerosakan dengan
produk berkenaan, anda tidak dapat mencari mereka lagi. Kebanyakan daripada
mereka tidak mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Ini menimbulkan
kesukaran untuk mengesan mereka.
Begitu juga jika
melaporkan kes kepada bahagian penguatkuasa atau memfailkan kes di Tribunal
Tuntutan Pengguna Malaysia, kes ini sukar untuk diselesaikan kerana kesukaran
untuk mendapatkan penjual.
Pengguna perlu
jelas dengan risiko yang bakal mereka hadapi akibat daripada keputusan
pembelian mereka.
(Pusat Khidmat
Aduan Pengguna Nasional (NCCC))
No comments:
Post a Comment