KENYATAAN DASAR
Dasar
Pengguna Negara bertujuan menggalakkan keseimbangan hak dan tanggungjawab di
kalangan dan di antara pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan dalam
melaksanakan peranan masing-masing, menggalakkan penggunaan lestari
(sustainable consumption) di kalangan pengguna dan pembekal/pengilang ke arah
memelihara kedaulatan Negara serta prinsip Agama untuk mencapai Wawasan Negara
dalam menjamin kesejahteraan dan kebajikan pengguna dalam era globalisasi.
Dasar
Pengguna Negara memberi fokus terhadap usaha-usaha tiga pihak, iaitu melalui
perlindungan kendiri (self-protection) di kalangan pembekal/pengilang dan
penglibatan Kerajaan melalui peningkatan tahap perlindungan pengguna yang
berkesan. Ini boleh dicapai dengan mewujudkan susasana yang harmoni untuk
menggalakkan keseimbangan hak dan tanggungjawab di antara pengguna,
pembekal/pengilang dan Kerajaan dengan memantapkan bidang perundangan, amalan
perdagangan, pendidikan, kesihatan, kemudahan awam dan lain-lain bidang yang
berkaitan.
RASIONAL DASAR PENGGUNA NEGARA
Dasar
Pengguna Negara (DPN) diperlukan sebagai prinsip dan panduan dalam menggubal
undang-undang berkaitan perlindungan pengguna. DPN juga wajar digunakan dalam
penggubalan mana-mana dasar ekonomi atau sosial negara. Dasar ini adalah asas
kepada segala kegiatan kepenggunaan oleh Agensi Kerajaan, Persatuan Pengguna,
badan bukan Kerajaan yang lain dan sektor swasta supaya perkembangan
kepenggunaan yang lestari (sustainable) dapat dipupuk di negara ini.
DPN
diperlukan dalam menghadapi kesan globalisasi terhadap pengguna,
pembekal/pengilang dan Kerajaan. Kepelbagaian barangan dan perkhidmatan serta
kecanggihan teknologi kesan dari globalisasi mengubah aspek perundangan,
ekonomi, strategi perdagangan dan sosial sesebuah negara.
DPN
diperlukan bagi mewujudkan masyarakat pengguna yang mempunyai perlindungan
kendiri iaitu bijak, bermaklumat, proaktif dah bertanggungjawab, mampu
mempengaruhi aktiviti golongan pembekal/pengilang dan sensitif terhadap segala
tingkahlakunya yang mempengaruhi keadaan ekonomi dan sosial negara.
DPN
diperlukan bagi mewujudkan masyarakat pembekal/pengilang yang mempunyai
kawalselia kendiri, iaitu bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kesejahteraan
pengguna.
DPN
diperlukan bagi mencapai Wawasan Kerajaan dalam menggalakkan masyarakat pengguna
dan pembekal/pengilang yang sentiasa prihatin dan berpengetahuan mengenai hak
dan tanggungjawab masing-masing serta berganding bahu bagi mencapai kemakmuran
negara seluruhnya.
OBJEKTIF
Tahap
Perlindungan Pengguna Yang Terbaik
Memastikan
tahap perlindungan pengguna yang terbaik dari segi perlindungan kendiri,
kawalselia kendiri dan aspek perundangan. Dari perspektif perundangan, setiap
undang-undang yang melibatkan pengguna hendaklah menyediakan peruntukan yang
melindungi pengguna, tindakan yang munasabah terhadap kecurangan
pembekal/pengilang dan sistem penyelesaian perundingan yang murah, mudah dan
cepat.
Amalan Perdagangan Yang Saksama dan Bertanggungjawab
Menggalakkan
amalan perdagangan yang saksama dan bertanggungjawab dalam segala aspek yang
melibatkan pengguna khususnya dalam aspek pengeluaran, promosi, penentuan harga
dan pemasaran barangan serta perkhidmatan yang dihasilkan oleh
pembekal/pengilang supaya dapat memenuhi keperluan asas pengguna dan
keselamatan pengguna serta menggalakkan pendekatan untung bersama dalam amalan
perdagangan. Menggalakkan kawalselia kendiri dalam amalan perdagangan yang
mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan pengguna.
Pendidikan
Memastikan
pendidikan pengguna yang berterusan diberi keutamaan oleh sektor awam dan
swasta dan diintegrasikan dalam aktiviti pendidikan formal dan tidak formal.
Memberi pendidikan pengguna di kalangan pembekal/pengilang mengenai peranan dan
tanggungjawab mereka dalam masyarakat sebagai usaha untuk melahirkan masyarakat
yang adil dan harmoni.
Penggunaan Lestari Dalam Era Globalisasi
Meningkatkan
usaha ke arah amalan penggunaan lestari (sustainable consumption) di kalangan
pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan, untuk menjamin kesejahteraan dan
kebajikan pengguna dalam era globalisasi dan liberalisasi perdagangan.
Hubungan Antara Pengguna, Pembekal/Pengilang Pengilang dan Kerajaan
Mengharmonikan
hubungan pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan agar semua pihak mempunyai
satu matlamat yang bersepadu iaitu mencapai perlindungan pengguna yang terbaik
di bawah satu dasar iaitu DPN.
MATLAMAT DASAR PENGGUNA NEGARA
Meningkatkan Kebajikan dan Kesejahteraan Pengguna
Matlamat
utama DPN ialah untuk meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan pengguna supaya
menjadi pengguna yang bertanggungjawab dan berupaya melaksanakan hak pengguna
untuk memilih dan bersuara. Meningkatkan keseimbangan kuasa berunding, maklumat
yang sahih dan mencukupi, serta keseimbangan kualiti/pulangan antara pengguna
dengan pembekal/pengilang.
Meningkatkan Kesejahteraan Sosio-Ekonomi
Mewujudkan
dan menjamin kesejahteraan sosio-ekonomi di kalangan anggota masyarakat melalui
amalan perdagangan yang bertanggungjawab berasaskan kepada hak-hak dan
kepentingan pengguna iaitu hak untuk mendapatkan keperluan asas, membuat
pilihan, mendapat maklumat, gantirugi, keselamatan, menyuarakan pendapat,
mendapat pendidikan pengguna dan hidup dalam alam sekitar yang menjamin
kesihatan.
Meningkatkan Amalan Penggunaan Lestari
Meningkatkan
amalan penggunaan lestari dalam mengurus sumber-sumber yang terhad untuk
menjamin kesejahteraan ekonomi dan sosial. Penggunaan lestari menggalakkan
berbelanja dengan berhemat, menggunakan sumber semulajadi dan kemudahan asas
seperti air dan tenaga dengan berhemat, serta memelihara kesejahteraan dan
kebajikan pengguna generasi semasa dan generasi akan datang.
STRATEGI
Strategi-strategi
berikut boleh dilaksanakan bagi tujuan pencapaian objektif-objektif yang telah
ditetapkan:-
Tahap
Perlindungan Pengguna Yang Terbaik
SOSIAL
Meningkatkan Kualiti Kehidupan
Taraf
kepenggunaan berkait rapat dengan taraf kualiti kehidupan. Faktor-faktor yang
menyumbang dalam peningkatan taraf kualiti kehidupan termasuklah kemudahan asas
yang mencukupi, perumahan yang mencukupi, kemudahan kesihatan yang mampu
dinikmati oleh semua golongan masyarakat, jaminan makanan yang berzat,
kemudahan pendidikan seperti sekolah dan perpustakaan kepada semua golongan
masyarakat, serta kemudahan teknologi maklumat yang kesemuanya memainkan
peranan penting dalam mencapai penggunaan lestari. Peningkatan kualiti
kehidupan memerlukan kerjasama dan permuafakatan pihak Kerajaan, sektor swasta
dan pengguna. Pihak Kerajaan hendaklah mengambilkira faktor-faktor di atas
dalam penggubalan dasar-dasar Kerajaan dan menyediakan infrastruktur yang
mencukupi. Pihak swasta hendaklah mengambilkira faktor-faktor di atas dalam penghasilan/pengeluaran
barangan dan perkhidmatan dan pengguna perlu bertanggungjawab untuk memastikan
kualiti kehidupan kepada taraf terbaik.
Meningkatkan Perlindungan Kendiri
Mewujudkan
badan khas yang bebas untuk mengendalikan isu-isu kepenggunaan yang dianggotai
oleh pihak Kerajaan, pengguna dan pembekal/pengilang. Mewujudkan
pusat maklumat pasaran yang lengkap berkenaan barangan dan perkhidmatan di
setiap daerah.
Meningkatkan Sokongan dan Bantuan Terhadap Pergerakan Kepenggunaan
Kemajuan
dan keberkesanan pergerakan pengguna berkait rapat dengan sokongan masyarakat,
kedudukan kewangan, keberkesanan tenaga penggerak yang mengendalikan gerakan
kepenggunaan dan sokongan Kerajaan. Kekurangan sokongan dari masyarakat,
kedudukan kewangan yang tidak kukuh dan kelemahan dalam pengurusan organisasi
menyebabkan aktiviti pergerakan kepenggunaan tidak dapat dilaksanakan dengan
memuaskan. Oleh itu, Kerajaan perlu meneruskan sokongan terhadap pergerakan
pengguna dan aktiviti-aktiviti kepenggunaan. Sumbangan dan sokongan yang
diberikan sudah tentu dapat membantu persatuan dalam usaha mempertingkatkan
lagi aktiviti-aktiviti kepenggunaan.
Menggalakkan
Penyertaan Persatuan Pengguna Dalam Pembentukan dan Perlaksanaan Program Agensi
Kerajaan Di Peringkat Negeri dan Daerah
Menggalakkan
penyertaan Persatuan Pengguna dalam pembentukan dan perlaksanaan program
kepenggunaan di peringkat negeri dan daerah. Persatuan Pengguna boleh menjadi
saluran utama untuk pengguna mengemukakan aduan dan pandangan dengan lebih
cepat dan berkesan untuk tindakan sewajarnya, contohnya melalui penyertaan
dalam jawatankuasa tertentu diperingkat Agensi Kerajaan dan Pihak Berkuasa
Tempatan.
PERUNDANGAN
Pemantapan Undang-Undang Perlindungan Pengguna
Kerajaan
hendaklah terus memainkan peranan untuk melindungi dan mengimbangi kepentingan
kedua-dua pihak iaitu pengguna dan pembekal/pengilang. Dalam hubungan ini,
Kerajaan perlu:-
Memantapkan
lagi penguatkuasaan undang-undang dan peraturan-peraturan agensi penguatkuasaan
di Kemeteriannya supaya tindakan yang berkesan dapat dilaksanakan.
Penguatkuasaan boleh dibantu oleh Persatuan Pengguna.
Meminda
undang-undang yang sedia ada dari masa ke semasa dengan mengenakan tindakan
sivil dan jenayah yang setimpal untuk mengawal kegiatan-kegiatan perdagangan
yang tidak bertanggungjawab.
Menggubal
undang-undang baru dengan mengambilkira kesan globalisasi, liberalisasi
perdagangan dan penggunaan lestari.
Memastikan
setiap undang-undang yang berkait dengan pengguna mengandungi peruntukan yang
menjamin kebajikan dan kesejahteraan pengguna.
Secara
umumnya, dasar kepenggunaan negara untuk setiap individu rakyat Malaysia dari
segenap lapisan masyarakat adalah berpandukan kepada falsafah kepenggunaan dan
kesedaran oleh setiap individu tersebut menengenai tanggungjawab sebagai
seorang pengguna di Malaysia.
Antara falsafah umum kepenggunaan ialah:
Mewujudkan
sifat berdikasi di kalangan para pengguna iaitu " - "Perlindungan
Paling Berkesan Ialah Perlindungan Sendiri."
Mewujudkan
pembangunan berorientasikan kepada menunaikan keperluan asas manusia melalui
kuasa beli kita sebagai pengguna bagi mewujudkan satu kebudayaan hidup yang
sesuai, bahagian dan tidak membazir
Para
pengguna bolehlah merujuk kepada senarai di bawah samaada mereka mempraktikkkan
tanggungjawab mereka sebagai pengguna atau tidak walaupun tanpa disedari:
Kesedaran untuk mengkritik
Pengguna
mestilah mempunyai kesedaran untuk mengkritik jika berlaku sebarang
penyalahgunaan atau penyelewengan terhadap hak-hak pengguna.
Penglibatan dan tindakan
Pengguna
mesti terlibat dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak-hak
pengguna dilayani dengan adil.
Tanggungjawab sosial
Pengguna
mesti bertindak dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran terhadap masyarakat
supaya tindak-tanduk yang diambil tidak menimbulkan kesulitan yang lebih besar.
Bersatu padu
Pengguna
mesti bersatu dan bekerjasama dalam tindakan agar kepentingan mereka tidak
mudah digugat.
Sumber: Laman www.mypengguna.com
No comments:
Post a Comment