Saturday, May 25, 2013

Masih ramai pemilik cap dagangan tidak berdaftar


KUALA LUMPUR, 10 Okt  : Masih ramai pemilik cap dagangan berdaftar tempatan dan antarabangsa tidak mendaftarkan jenama produk mereka mengikut kaedah ‘Basket Of Brands (BOB)’ atau ‘Bakul Jenama’ sebagai langkah awal untuk membanteras kegiatan barangan tiruan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Perlindungan Pengguna Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mohd Khalis Kasim berkata walaupun setakat ini 95 jenama harta intelek disimpan dalam pangkalan data yang diwujudkan KPDNKK, sikap pemilik harta intelek yang masih tidak mendaftarkan jenama mereka menyukarkan unit itu untuk mengetahui sama ada barangan yang dijual di pasaran itu adalah tiruan ataun sebaliknya.

Isu cap dagangan ini adalah sesuatu yang serius kerana ia boleh mendatangkan kerugian besar kepada peniaga atau pereka asal produk tertentu itu, katanya kepad Bernama di sini, hari ini.

Antara jenama popular yang disimpan di dalam BOB ialah barangan jenama antarabangsa seperti Adidas dan Nike, serta barangan jenama tempatan seperti kenderaan jenama Proton, produk jenama khas (pakaian, alat tulis, filem) Upin dan Ipin dan peralatan alat tulis jenama Papermate. Bagaimanapun, katanya, daripada 95 jenama harta intelek di dalam BOB itu, tidak semua didapati ditiru.

Jelasnya, BOB yang diwujudkan KPDNKK tahun lalu, adalah bertujuan mengawal dan melindungi ciptaan seseorang agar pihak lain tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan hasil kreativiti orang lain dan mendapat keuntungan ke atasnya pula.

“KPDNKK tidak mampu membanteras kesemua barangan tiruan yang terlalu banyak di pasaran tempatan namun sekiranya ia dimasukkan ke dalam BOB, ianya memudahkan pihak kita untuk membuat pemantauan khusus,” katanya.

Mohd Khalis berkata peniaga yang memasukkan cap dagangan mereka ke dalam BOB juga tidak perlu bersusah payah untuk memantau di setiap negeri dalam usaha memastikan barangan mereka tidak ditiru kerana KPDNKK mempunyai wakil khas di setiap negeri yang akan memantau setiap jenama barangan yang termasuk dalam BOB.

Beliau berkata sejak Jan sehingga Sept tahun ini, RM13 juta nilai rampasan barangan tiruan direkodkan membabitkan 689 kes. “Nilai rampasan tahun ini dilihat meningkat berbanding tahun lalu iaitu RM12.7 juta membabitkan 1,191 kes dalam tempoh Januari sehingga Disember,” katanya. – BERNAMA


No comments:

Post a Comment