Tuesday, April 30, 2013


Google bekerjasama dengan Interpol membanteras barang tiruan




Polis Antarabangsa, Interpol, baru-baru ini mengumumkan inisiatif baru untuk menjejak dan menangani perdagangan barangan tiruan, terutamanya tembakau dan ubat-ubatan, melalui kerjasama dengan gergasi internet; Google Inc. Interpol, dengan bantuan Google membina aplikasi khas untuk mengimbas barangan yang didagangkan.

Jurucakap Interpol berkata dalam satu sidang media; ” Pada masa ini, pedagang dan pengguna tidak dapat membezakan barangan tiruan dan barangan tulen”. Melalui aplikasi yang dibangunkan, pengguna hanya perlu mengimbas kod barangan tersebut dan mengetahui statusnya. Warna hijau membuktikan barangan tersebut telah disahkan tulen, manakala warna merah bermakna, barangan tersebut belum disahkan.

Google mencipta aplikasi ini untuk dibangunkan dalam sistem android tetapi Interpol bercadang membawanya juga ke iOS, Blackberry dan Windows Mobile. Aplikasi ini telahpun mula digunakan di India, oleh PharmaSecure, untuk mengenalpasti ubatan palsu dan tulen.
Sumber : KhaleejTimes



Jual senjata api tiruan



Pelbagai senjata api tiruan, peluru dan pakaian pasukan keselamatan dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Garden House, Petaling Jaya, di sini, petang kelmarin.

Turut ditahan tiga suspek berusia 30-an termasuk seorang wanita dan semua mereka dipercayai pihak yang bertanggungjawab membeli senjata yang menyerupai senjata api asli dari Hong Kong melalui Internet sebelum menjualnya untuk pasaran dalam negara pada harga RM500 hingga RM900 setiap satu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata sepasukan polis dari Unit Risikan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) membuat serbuan ke atas rumah terbabit kira-kira jam 2.15 petang selepas mendapat maklumat kegiatan penjualan senjata api tiruan itu.

Menurutnya, ketika pemeriksaan di sebuah bilik berkunci dalam rumah itu, polis menemui pelbagai senjata api tiruan termasuk empat mesingan, satu raifal, dua shot gun, satu sub mesingan, enam pistol jenis Sig Sauer, Blowback, Glock dan US 9mm, 11 kelopak peluru mesingan dan sebutir peluru berkepala merah.

Semua peralatan itu dianggarkan bernilai lebih RM20,000. “Hasil siasatan awal, suspek memberitahu semua senjata dan peralatan tiruan itu dibeli melalui perkhidmatan Internet yang berpangkalan di Hong Kong, manakala proses penghantaran dibuat melalui perkhidmatan kurier.

“Bagi mengelakkan senjata tiruan itu dikesan pihak berkuasa, mereka membuat pengisytiharan barangan terbabit sebagai alat ganti kenderaan dan kompressor semburan cat,” katanya di sini, semalam.

Amar Singh berkata, perkembangan seperti ini sangat membimbangkan kerana senjata tiruan berkualiti tinggi itu begitu mudah dibawa masuk melalui perkhidmatan kurier. “Walaupun senjata itu tiruan, namun model dan penggunaannya menyamai mekanisme senjata asal. Polis khuatir senjata sebegini boleh digunakan untuk melakukan jenayah serius yang boleh mengancam keselamatan awam,” katanya.

Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan direman selain ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek lelaki terbabit positif dadah jenis syabu.

Medium utama jual barang tiruan akan diambil alih oleh Internet



WASHINGTON: Penjualan barangan tiruan minyak wangi dan dompet berjenama di jalanan akan diambil alih oleh Internet tidak lama lagi, lapor laporan terbaru AS mengenai barangan cetak rompak, semalam.

Laporan tahunan Khas 301 Perwakilan Perdagangan AS berkata, terdapat “peningkatan berterusan” dalam kegiatan cetak rompak hakcipta “dalam semua format”.
Namun secara berterusan, Internet menjadi medium jualan, bukannya kedai di pusat beli-belah dan penjaja jalanan. Tindakan terhadap penjual di Internet di satu laman web hanya membuka peluang kepada yang lain.

“Peningkatan berterusan jualan di Internet terhadap barangan tiruan dan cetak rompak akan mengatasi kaedah jualan oleh penjaja jalanan dan pasaran fizikal lain,” kata laporan itu. – AFP

 hmetro.com.my


Barangan Jenama Tiruan Bernilai RM2 Juta Dirampas


BUKIT MERTAJAM, 5 Mac (Bernama) -- Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) cawangan Seberang Perai Tengah (SPT) merampas pelbagai barangan tiruan berjenama bernilai RM2 juta dalam serbuan di sebuah premis yang dijadikan setor di Jalan Kampung Baru, Bukit Mertajam, hari ini.

Setor itu, yang terletak di bahagian bumbung bangunan empat tingkat yang telah diubahsuai, menyimpan ratusan ribu barangan seperti beg galas, beg kembara, tali pinggang, dompet dan topi pelbagai jenama antaranya Converse, Kappa dan Pentel.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Nor Ashikin Abdul Hamid berkata, kegiatan sindiket itu dihidu selepas anggotanya mengadakan risikan selama dua minggu di kawasan tersebut. Ketika bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata, barangan itu yang dipercayai diimport dari China disimpan di setor itu sebelum diedarkan di pasaran wilayah utara.

Katanya, sindiket berkenaan menjadikan setor itu tempat menyimpan barangan mereka sejak lima tahun lalu.  
Menurutnya, dalam serbuan pada kira-kira pukul 4 petang ini, dua lelaki berusia 34 tahun dan 45 tahun yang dipercayai pengurus dan penyelia setor berkenaan ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31B Akta Perihal Dagangan 1972.

-- BERNAMA

Karnival IT dibanjiri telefon tiruan


PORT DICKSON - Orang ramai diminta berhati-hati apabila membeli telefon bimbit di tapak-tapak karnival menjual peralatan komputer dan elektronik di seluruh negara berikutan ada peniaga dikesan menjual telefon bimbit tiruan.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah Port Dickson Yusuf Bakar berkata, perbuatan itu dikesan selepas pasukannya merampas 143 unit telefon bimbit tiruan bernilai RM80,000 dalam satu operasi di Dataran Rembau minggu lepas. Rampasan yang dibuat itu melibatkan 10 tapak gerai di karnival itu, katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

"Mereka akan menayangkan telefon bimbit yang asli di ruang pameran gerai mereka tetapi selepas pembeli bersetuju dengan harga tawaran, mereka akan membuat keadaan seperti kelam kabut sebelum menukarkan telefon asli itu dengan telefon tiruan yang disimpan di bawah kaunter,” katanya. Modus operandi para peniaga di tapak karnival ini turut dikesan di Senawang sebelum ini dan beliau percaya peniaga terbabit mempunyai rangkaian di seluruh negara. - Bernama

Sorok barang tiruan dalam banglo



MOHD BASHA ABIDIN (kiri) bersama pegawai penguat kuasa memeriksa pelbagai beg tangan wanita berjenama yang didapati tiruan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Salleh.


MUAR: Sebuah banglo di taman perumahan dekat Jalan Salleh di sini, dikesan menjadi stor transit beribu-ribu barangan tiruan bernilai lebih RM100,000 untuk diedarkan pasaran seluruh Johor dan sebahagian Pahang.

Kegiatan di banglo milik sebuah keluarga yang dipercayai beroperasi sejak kira-kira setahun lalu itu terbongkar hasil serbuan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Muar diketuai Pegawai Penguat kuasa, Wan Asrol Wan Mahmud dan 10 anggota, kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Dalam serbuan itu penguat kuasa KPDNKK menemui pelbagai jenis barangan tiruan termasuk beg silang, beg pakaian, beg sandang, beg tangan, beg sekolah, beg duit dan topi menggunakan pelbagai jenama terkenal termasuk Levi's, Nike, Adidas, Diadora, Polo, Lotto, Luis Vitton, Manchester United, Chelsea dan Liverpool.

Ketua Cawangan PPDNKK Muar, Mohd Basha Abidin Ali, berkata susulan serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 70-an dan tiga wanita berusia antara 20-an hingga 30-an yang mempunyai hubungan keluarga dan dipercayai bekerja menguruskan barangan di banglo berkenaan.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan pemilik banglo berkenaan dan dua lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyimpanan serta pengedaran barangan tiruan. “Kumpulan itu dipercayai turut bertindak sebagai pengimport barangan tiruan dengan menjadikan banglo itu sebagai stor transit sebelum diedarkan kepada peniaga lain termasuk peniaga pasar malam sekitar Johor dan Pahang," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan itu turut membuat penghantaran terus kepada pembeli melalui perkhidmatan pos, selain ada juga pembeli yang datang sendiri ke banglo berkenaan untuk mendapatkan bekalan. Mohd Basha Abidin berkata, kes itu adalah hasil daripada intipan kira-kira dua bulan sempena operasi Gerak Gempur Cetak Rompak (GGCR) yang dijalankan pasukannya di sekitar Muar.

Sindiket barangan tiruan lumpuh




ABDUL HAMID (kiri) meneliti beg berjenama tiruan yang dirampas di Johor Jaya, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Satu sindiket pengedaran produk berjenama tiruan di bandar raya ini lumpuh, apabila barangan itu yang bernilai RM200,000 berjaya dirampas dalam satu serbuan di sini semalam.

Serbuan dilakukan oleh Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri Johor kira-kira pukul 12 tengah hari di sebuah stor di Jalan Dedap, Taman Johor Jaya di sini.