Tuesday, April 30, 2013


Jual senjata api tiruan



Pelbagai senjata api tiruan, peluru dan pakaian pasukan keselamatan dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Garden House, Petaling Jaya, di sini, petang kelmarin.

Turut ditahan tiga suspek berusia 30-an termasuk seorang wanita dan semua mereka dipercayai pihak yang bertanggungjawab membeli senjata yang menyerupai senjata api asli dari Hong Kong melalui Internet sebelum menjualnya untuk pasaran dalam negara pada harga RM500 hingga RM900 setiap satu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata sepasukan polis dari Unit Risikan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) membuat serbuan ke atas rumah terbabit kira-kira jam 2.15 petang selepas mendapat maklumat kegiatan penjualan senjata api tiruan itu.

Menurutnya, ketika pemeriksaan di sebuah bilik berkunci dalam rumah itu, polis menemui pelbagai senjata api tiruan termasuk empat mesingan, satu raifal, dua shot gun, satu sub mesingan, enam pistol jenis Sig Sauer, Blowback, Glock dan US 9mm, 11 kelopak peluru mesingan dan sebutir peluru berkepala merah.

Semua peralatan itu dianggarkan bernilai lebih RM20,000. “Hasil siasatan awal, suspek memberitahu semua senjata dan peralatan tiruan itu dibeli melalui perkhidmatan Internet yang berpangkalan di Hong Kong, manakala proses penghantaran dibuat melalui perkhidmatan kurier.

“Bagi mengelakkan senjata tiruan itu dikesan pihak berkuasa, mereka membuat pengisytiharan barangan terbabit sebagai alat ganti kenderaan dan kompressor semburan cat,” katanya di sini, semalam.

Amar Singh berkata, perkembangan seperti ini sangat membimbangkan kerana senjata tiruan berkualiti tinggi itu begitu mudah dibawa masuk melalui perkhidmatan kurier. “Walaupun senjata itu tiruan, namun model dan penggunaannya menyamai mekanisme senjata asal. Polis khuatir senjata sebegini boleh digunakan untuk melakukan jenayah serius yang boleh mengancam keselamatan awam,” katanya.

Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan direman selain ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek lelaki terbabit positif dadah jenis syabu.

No comments:

Post a Comment