Barangan Jenama Tiruan Bernilai RM2 Juta Dirampas
BUKIT MERTAJAM,
5 Mac (Bernama) -- Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) cawangan Seberang Perai Tengah (SPT)
merampas pelbagai barangan tiruan berjenama bernilai RM2 juta dalam serbuan di
sebuah premis yang dijadikan setor di Jalan Kampung Baru, Bukit Mertajam, hari
ini.
Setor itu, yang
terletak di bahagian bumbung bangunan empat tingkat yang telah diubahsuai,
menyimpan ratusan ribu barangan seperti beg galas, beg kembara, tali pinggang,
dompet dan topi pelbagai jenama antaranya Converse, Kappa dan Pentel.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya,
Nor Ashikin Abdul Hamid berkata, kegiatan sindiket itu dihidu selepas
anggotanya mengadakan risikan selama dua minggu di kawasan tersebut. Ketika bercakap
kepada pemberita di sini, beliau berkata, barangan itu yang dipercayai diimport
dari China disimpan di setor itu sebelum diedarkan di pasaran wilayah utara.
Katanya,
sindiket berkenaan menjadikan setor itu tempat menyimpan barangan mereka sejak
lima tahun lalu.
Menurutnya,
dalam serbuan pada kira-kira pukul 4 petang ini, dua lelaki berusia 34 tahun
dan 45 tahun yang dipercayai pengurus dan penyelia setor berkenaan ditahan
untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31B Akta Perihal Dagangan 1972.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment