TANGANI MASALAH BARANG TIRUAN
TENOM:
Penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan rapi perlu dilakukan oleh
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi
menangani masalah barang tiruan di pasaran.
Ahli Parlimen
Tenom, Datuk Raime Unggi, berkata pihak kementerian perlu membuat pemantauan
yang kerap kerana masih terdapat segelintir masyarakat di kawasan luar bandar
yang kurang peka terhadap hak untuk mendapatkan sesuatu barangan yang
berkualiti dan bermutu dalam membeli sesuatu barangan.
Beliau berkata,
masyarakat perlu mempunyai pengetahuan tambahan dalam membeli sesuatu barangan
supaya tidak menjadi mangsa penipuan atau membeli barangan yang tidak
berkualiti terutamanya barangan tiruan.
“Saya tidak mahu
rakyat terutamanya di kawasan luar bandar terpedaya atau tertipu dengan
pelbagai teknik penjualan dan pemasaran yang dilakukan oleh sesebuah syarikat
yang menjual produk mereka untuk mendapatkan keuntungan semata-mata.
“Rakyat yang
juga merupakan pengguna perlu bijak, teliti dan mendapatkan maklumat langsung
mengenai sesuatu barangan terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barangan
tersebut kerana kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan,” katanya
ketika berucap merasmikan Majis Perasmian Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil
Daerah Tenom, di Sedco Vest Tenom, baru-baru ini.
Mengenai
penubuhan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Tenom ini, katanya, amat
bermanfaat kepada peniaga dan penjaja di sekitar daerah Tenom kerana segala
urusan atau masalah dapat diselesaikan menerusi kerjasama di antara ahli-ahli
dalam persatuan.
“Dengan adanya
persatuan ini, ahli-ahli persatuan akan dapat menyuarakan pendapat atau masalah
yang dihadapi tanpa menyelesaikannya secara bersendirian.
“Dalam
menubuhkan persatuan ini, aspek pentadbiran persatuan amat penting disusun
dengan baik dan teratur kerana persatuan yang mempunyai pentadbiran dan
pengurusan yang baik akan dapat menambahkan lagi keyakinan ahli-ahli persatuan
dalam membantu menyelesaikan sesuatu masalah,” jelasnya.
Dalam majlis
itu, Raime turut mengingatkan para penjaja dan peniaga kecil supaya mendaftar
di bawah Majlis Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (M3P) melalui persatuan
sebagai persiapan untuk pemberian Perlindungan Insurans Berkelompok secara
percuma melalui Skim Takaful Mikro Bank Rakyat.
“Skim ini
bertujuan untuk memberi perlindungan dan menjaga kebajikan peniaga daripada
sebarang masalah seperti kemalangan. Manakala, faedah perlindungan insuran ini
sehingga umur seseorang peniaga itu mencecah umur 70 tahun.
“Skim ini juga
akan mulai berkuatkuasa pada bulan Januari 2013 dan semua para penjaja dan
peniaga kecil adalah digalakkan untuk mendaftar segera,” katanya.
Hadir sama,
Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong, Fredian Gan, Pengerusi Persatuan
Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Tenom, Tukimin Tumin, pegawai KPDNKK dan para
peniaga kecil.
No comments:
Post a Comment