"Contohilah negara maju seperti Jepun, Korea, Kanada dan United Kingdom (UK) kerana peniaga dan pembeli di sana segan menjual dan membeli barangan cetak rompak,"
TIDAK
berkualiti, membahayakan kesihatan, merugikan pengguna dan pelbagai kesan
negatif didapati pada barangan tiruan. Pun begitu, masih ramai pengguna di
Malaysia berdegil apabila terus menjadi 'hamba' barangan tiruan meskipun
menyedari pelbagai risiko menanti. Pelbagai
tindakan undang-undang dilaksanakan, namun masih ada yang berdegil apabila
terus menjual barangan berkenaan secara haram dan berleluasa.
Pasar
raya, pasar malam, 'down town', 'up town' antara lokasi popular menjual
barangan tiruan seperti kasut, jersi bola sepak, beg, peralatan kosmetik, alat
ganti kereta, ubat-ubatan, makanan dan peralatan elektrik.
Ketua
Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayudin berkata, sepanjang tahun lalu,
nilai rampasan berjumlah RM13.78 juta membabitkan 1,328 kes berjaya
ditumpaskan, manakala sehingga Januari tahun ini sebanyak RM500,000 nilai
rampasan membabitkan 170 kes.
Antara
produk dirampas ialah makanan, ubat-ubatan, kosmetik, peralatan komunikasi,
perkakas komputer, barangan kulit, minuman keras, alat ganti kereta, cermin
mata dan barangan elektrik.
Menurutnya,
faktor utama menyebabkan penjual barangan tiruan terus berleluasa disebabkan
ada permintaan tinggi daripada pengguna yang mahukan barangan berjenama tetapi
murah tanpa mengira faktor keselamatan yang memudaratkan diri.
Paling
berbahaya ialah ubat-ubatan, terutama pil kurus atau produk makanan yang boleh
menjejaskan kesihatan hingga membawa maut jika pengguna tidak peka terhadap
label pada bekas atau bahan digunakan.
"Pengguna
punya hak jika berasa mereka tertipu dan boleh membuat laporan kepada KPDNKK.
Mereka juga perlu tahu ciri-ciri disahkan yang patut ada dalam sesebuah produk
seperti mempunyai pengesahan Kementerian Kesihatan (KKM), Institut Penyelidikan
Industri dan Standard Malaysia (Sirim) dan International Organization for
Standardization (ISO).
"Kesedaran
mengenai bahaya dan akibat menggunakan barangan tiruan masih di tahap rendah.
Ia berikutan sikap 'kedekut' dan tidak kisah yang ada membuatkan mereka lebih
selesa menggunakan barangan tidak diiktiraf.
"Pengguna
bijak adalah mereka yang mementingkan kualiti dan keselamatan produk biarpun
terpaksa membayar lebih, namun kesannya berbaloi dengan apa dibayar,"
katanya ketika ditemubual di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.
Beliau
berkata, kebanyakan rakyat Malaysia 'mencintai' barangan berjenama, terutama
buatan luar negara, namun kurang mampu memilikinya disebabkan harga terlalu
mahal.
Justeru,
sebagai jalan singkat, mereka lebih gemar memilih produk sama namun berbeza
daripada segi kualiti dan mutu pembuatannya. Yang penting, mereka tetap
kelihatan bergaya pada pandangan orang ramai.
"Memanglah
semua orang mahu beli barang dengan harga lebih rendah, namun harus diselidik
latar belakang produk terbabit. Sebagai contoh, alat ganti kenderaan tidak
tulen digunakan apa hasilnya kelak.
"Jangan
kerana terlalu lokek hingga mengancam nyawa sendiri serta orang lain. Pengguna
harus berfikir akibat dan natijah menggunakan produk tiruan yang semestinya
tiada jaminan," katanya kesal dengan tindakan masyarakat yang terus
menyokong barangan tiruan.
Menurutnya,
kesan penjualan barangan tiruan bukan hanya kepada pemilik dan pengguna, malah
kepada negara.
Katanya,
ia secara tidak langsung menjejaskan ekonomi negara disebabkan pelabur luar
negara tidak yakin melabur di Malaysia akibat lambakan barangan tiruan yang
mudah didapati.
Roslan
turut menasihatkan orang ramai, terutama pemilik cap dagang, supaya segera
membuat laporan jika tahu produk mereka disabotaj oleh pihak tidak
bertanggungjawab.
"Hanya
pemilik cap dagang dibenar membuat laporan jika mendapati produk mereka
dimanipulasi pihak ketiga. Sebagai contoh tahun lalu, KPDNKK mendapat laporan
ada pihak cuba mengelirukan pelanggan dengan menggunakan jenama tudung sama
dijual di pasaran.
"Jika
situasi ini berlaku, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Perihal
Dagangan 1972 kerana membuat, mengedar dan menjual barangan tiruan dan jika
sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau
kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat pula denda RM250,000," katanya.
Selain
memerlukan maklumat orang awam, KPDNKK menghantar pegawai risikan di kawasan
yang dikenal pasti sebagai 'hotspot' seperti Sungei Wang Plaza, Bukit Bintang
dan Jalan Petaling.
Manakala
di kawasan luar Kuala Lumpur pula seperti Batu Feringgi, Pulau Pinang; sebuah
pusat beli-belah di Johor Bahru; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.
"Pihak
kami sentiasa membuat pemantauan terhadap lambakan barangan tiruan, terutama
membabitkan aduan orang awam.
"Untuk
makluman, tahun lalu kami berjaya mencapai tahap Petunjuk Prestasi Utama (KPI)
ditetapkan iaitu 30 peratus manakala tahun ini pula 50 peratus dan akan cuba
mencapai tahap berkenaan.
"Contohilah
negara maju seperti Jepun, Korea, Kanada dan United Kingdom (UK) kerana peniaga
dan pembeli di sana segan menjual dan membeli barangan cetak rompak,"
katanya.
No comments:
Post a Comment