Penguatkuasaan dan pemantauan rapi perlu tangani masalah barang tiruan
TENOM: Penguatkuasaan
undang-undang dan pemantauan rapi perlu dilakukan oleh Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menangani masalah barang
tiruan di pasaran. Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi, berkata pihak kementerian
perlu membuat pemantauan yang kerap kerana masih terdapat segelintir masyarakat
di kawasan luar bandar yang kurang peka terhadap hak untuk mendapatkan sesuatu
barangan yang berkualiti dan bermutu dalam membeli sesuatu barangan.
Beliau berkata, masyarakat perlu
mempunyai pengetahuan tambahan dalam membeli sesuatu barangan supaya tidak
menjadi mangsa penipuan atau membeli barangan yang tidak berkualiti terutamanya
barangan tiruan. “Saya tidak mahu rakyat terutamanya di kawasan luar bandar
terpedaya atau tertipu dengan pelbagai teknik penjualan dan pemasaran yang
dilakukan oleh sesebuah syarikat yang menjual produk mereka untuk mendapatkan
keuntungan semata-mata.
“Rakyat yang juga merupakan
pengguna perlu bijak, teliti dan mendapatkan maklumat langsung mengenai sesuatu
barangan terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barangan tersebut kerana kita
tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan,” katanya ketika berucap
merasmikan Majis Perasmian Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Tenom, di
Sedco Vest Tenom, baru-baru ini.
Mengenai penubuhan Persatuan
Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Tenom ini, katanya, amat bermanfaat kepada
peniaga dan penjaja di sekitar daerah Tenom kerana segala urusan atau masalah
dapat diselesaikan menerusi kerjasama di antara ahli-ahli dalam persatuan. “Dengan
adanya persatuan ini, ahli-ahli persatuan akan dapat menyuarakan pendapat atau
masalah yang dihadapi tanpa menyelesaikannya secara bersendirian.
“Dalam menubuhkan persatuan ini,
aspek pentadbiran persatuan amat penting disusun dengan baik dan teratur kerana
persatuan yang mempunyai pentadbiran dan pengurusan yang baik akan dapat
menambahkan lagi keyakinan ahli-ahli persatuan dalam membantu menyelesaikan
sesuatu masalah,” jelasnya. Dalam majlis itu, Raime turut mengingatkan para
penjaja dan peniaga kecil supaya mendaftar di bawah Majlis Penjaja dan Peniaga
Kecil Negeri Sabah (M3P) melalui persatuan sebagai persiapan untuk pemberian
Perlindungan Insurans Berkelompok secara percuma melalui Skim Takaful Mikro
Bank Rakyat.
“Skim ini bertujuan untuk memberi
perlindungan dan menjaga kebajikan peniaga daripada sebarang masalah seperti
kemalangan.Manakala, faedah perlindungan insuran ini sehingga umur seseorang
peniaga itu mencecah umur 70 tahun. “Skim ini juga akan mulai berkuatkuasa pada
bulan Januari 2013 dan semua para penjaja dan peniaga kecil adalah digalakkan
untuk mendaftar segera,” katanya.